Balu Bomba Lega Terima Pencen Perkeso

14/03/2024 05:41 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Mac (Bernama) -- Noor Suhaila Soufi, 25, balu kepada anggota bomba bantuan yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Januari lepas, menarik nafas lega apabila dia dan anak lelakinya, Ayden Mikail Mohd Amirul, 4, menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Noor Suhaila dan anaknya yang kini menumpang di rumah ibu bapanya dan mencari pendapatan dengan menjual kuih-muih layak menerima pencen bulanan sebanyak RM1,395 di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). 

Allahyarham suaminya, Mohamad Amirul Asraf, 30, meninggal dunia pada 29 Jan lepas selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerjanya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Marang.

"Arwah meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas kemalangan kereta di hadapan tempat kerjanya.

"Selepas ketiadaan arwah, hidup kami agak susah kerana saya tidak ada kerja… wang simpanan pun tak ada. Hasil jualan buat kuih pun tak seberapa… dapatlah untung dalam RM15 ke RM20 sehari," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian faedah Perkeso di kediaman ibu bapanya di Kampung Kubang Tepak, Manir di sini hari ini.

Menurut Noor Suhaila dia juga perlu membayar ansuran motosikal arwah suaminya sebanyak RM207 sebulan untuk tempoh lima tahun.

“Walaupun kecil bagi sesetengah orang, ia agak membebankan kerana saya tiada sumber pendapatan tetap.

“Alhamdulillah dengan adanya pencen ini saya tak perlu runsing memikirkan mana nak cari duit bayar motosikal yang arwah beli sebulan sebelum dia pergi (meninggal dunia) dan hanya sempat naik dua atau tiga kali sahaja," katanya.

Wang pencen itu juga, katanya akan digunakan bagi menampung perbelanjaan pada Ramadan ini dan persediaan menyambut Aidilfitri selain membeli peralatan membuat kuih yang lebih moden bagi memudahkan kerjanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin berkata semakan mendapati Mohamad Amirul yang merupakan Orang Berinsurans Sendiri (OBS) layak mendapat faedah itu kerana dicarumkan serta dilindungi SKSPS di bawah Pakej SPS MADANI yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui inisiatif Belanjawan 2023.

Beliau berkata berdasarkan statistik seramai 12,914 OBS telah mendaftar di bawah SKSPS di Terengganu sepanjang 2023, meningkat sebanyak 8.3 peratus berbanding 11,842 OBS pada 2022.

"Selain itu, Perkeso juga telah membayar pampasan faedah berjumlah RM474,741.99 kepada 106 waris yang layak," katanya yang turut menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada Noor Suhaila.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan