Cuaca Panas, Tiada Air Cabaran Besar Di Sebalik Hasil Jualan Baik Di Bazar Ramadan Sabah

20/03/2024 03:01 PM

KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Keadaan cuaca yang terlalu panas dan masalah bekalan air yang tidak menentu ketika musim kemarau ini merupakan antara cabaran hebat yang terpaksa dihadapi peniaga bazar Ramadan di Sabah.

Peniaga air balang di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini Mohd Shafie Abdul Kadir, 30, berkata walaupun beliau mampu membuat jualan sehingga ratusan ringgit setiap hari semasa Ramadan, namun cabaran untuk terus berniaga di sini tahun ini jelas jauh memeritkan berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun ini paling mencabar, sebelum ini tidak panas begini. Tahun ini panasnya lain macam sikit, buat kerja bawah panas matahari ini cepat penat dan boleh buat kerja sekejap sahaja, lepas tu kena rehat sekejap. Memang kerja jadi perlahan ditambah dengan kita menjalani ibadah puasa,” katanya kepada Bernama.

“Kita mula menyediakan jualan di tapak bazar seawal pukul 2 petang dan cuaca ketika itu sangat panas, tetapi kalau lambat kita terlepas peluang tarik ramai pelangan kerana di sini (Kota Kinabalu) berbuka puasa awal pukul 6.28 petang jadi kita kena sedia awal,” katanya.

Peniaga kuih Fatimah Rahman, 41, pula berkata cuaca panas ketika ini menjadikan peniaga bazar Ramadan di kawasan itu menghadapi banyak kesukaran apabila terpaksa datang awal untuk menyediakan barang jualan dan tapak perniagaan mereka.

Beliau berkata bekalan air yang terputus di kawasan rumahnya di Tanjung Aru di sini memberikan cabaran besar kepadanya apabila terpaksa menyediakan makanan dengan jumlah air yang sedikit, selain terpaksa membeli bekalan air untuk kegunaan perniagaannya.

Di PAPAR, peniaga air kelapa di Bazar Ramadan Kimanis, Nurul Albiaya Abdullah, 43, berkata masalah bekalan air amat menyukarkan peniaga di kawasan itu apabila terpaksa mendapatkan bekalan di kawasan lain sebelum memulakan perniagaan.

“Rumah sebelum ini ada air mudah kita kerja, isi air bersih dalam tong bawa ke tapak bazar untuk kegunaan beniaga, tetapi apabila tiada bekalan air, terpaksa awal-awal beli di kedai (air minuman berbotol), pejabat kerajaan dan JANS (Jabatan Air Negeri Sabah),” katanya.

Peniaga sayap ayam bakar Mohd Hanif Anuar Yun, 27, berkata beliau menggunakan antara lima hingga 10 karton air minuman berbotol setiap hari dengan belanja kira-kira RM150 sehari untuk menyediakan sayap ayam bakar yang dijualnya.

“Rumah saya ada air ditapis beralkali tetapi bila tiada air, terpaksa cari air botol kerana sediakan makanan ini tidak boleh guna air biasa, daripada kerja-kerja membersihkan ayam sehingga proses menggunakan bahan perap. Jika tidak, makanan akan tercemar,” katanya.

Di TUARAN, peniaga sup dan bakso di Bazar Ramadan Telipok, Shahjirie Rahman, 41, berkata sememangnya peniaga bazar Ramadan di Sabah mampu meraih jualan ratusan ringgit sehari, bagaimanapun keuntungan diperoleh tahun ini berkurangan berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun ini terpaksa keluarkan kos lebih beli air, tambahan cuaca panas kita pasang kipas mudah alih untuk bagi keselesaan kita dan pelanggan datang berniaga. Jumlah jualan tidak banyak berbeza tetapi untung itu jatuh dalam 30 hingga 50 peratus juga,” katanya.

Beliau berkata bagi peniaga masakan berair seperti dirinya mencari sumber air betul-betul bersih terutama ketika kemarau adalah penting bagi memastikan makanan disediakan tidak tercemar, justeru air minuman berbotol dibeli dengan kos RM50 hingga RM100 sehari adalah satu-satunya pilihan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan