Ahli Parlimen, Senator Harus Beri Contoh Terbaik Jaga Sensitiviti 3r

21/03/2024 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara harus sentiasa memberi contoh terbaik kepada rakyat dalam menjaga keharmonian perpaduan dan menjaga kesensitifan berkait dengan 3R (bangsa, agama dan institusi Diraja).

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal berkata perkara ini boleh dilakukan dengan mengamalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan toleransi, terutama semasa menjalankan tanggungjawab berbahas di dalam Dewan. 

Beliau berlata ia penting kerana pada zaman Internet ketika ini, setiap tingkah laku dan percakapan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara adalah terbuka atau “vulnerable” kepada setiap lapisan rakyat di pelbagai medium media massa traditional serta media baru, tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

“Perkara ini juga telah dititah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-15 yang lepas. Oleh itu, saya amat mengalu-alukan usaha dan komitmen Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menyatukan masyarakat tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara bersama dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Wan Junaidi Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Dalam ucapannya itu, Mutang turut mengucapkan syabas kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara kerana rata-ratanya kekal fokus dan produktif sepanjang perbahasan di  bulan Ramadan ini.

Sementara itu, Johari berkata semua pihak di Dewan Rakyat termasuk beliau sendiri bersedia untuk menerima teguran dan pandangan daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak berhubung usaha memperkukuhkan kedudukan Parlimen Malaysia sebagai badan perundangan tertinggi negara.

Mutang berkata biarpun kini Wan Junaidi tidak lagi menjadi Yang Dipertua Dewan Negara, namun  pengalaman luas beliau dalam politik serta pentadbiran kerajaan cukup untuk dikongsi dan dicerakinkan untuk pembangunan Parlimen dan negara amnya.

“Melalui pengalaman yang beliau (Wan Junaidi) ada dan digabung pula dengan sifat dinamik Premier Sarawak (Tun Abang Johari Abang Openg, saya juga yakin banyak perubahan akan berlaku di Sarawak bagi membolehkannya menjadi negeri terbaik di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan