Csa Academy Rai 35 Anak Yatim Dan Asnaf Sempena Ramadan

21/03/2024 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Sebanyak 35 anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, Keramat hari ini dirai dalam satu majlis berbuka puasa Jalinan Kasih Ramadan anjuran CSA Academy.

Pengurus Penganalisa Kredit CSA Academy Roshanizam Roslan berkata ia adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat perunding kewangan itu dalam menyantuni golongan asnaf dan anak yatim membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Program CSR ini merupakan kali ketujuh yang dilakukan apabila tiba musim perayaan dan kebiasaannya kita meraikan warga emas, Orang Kurang Upaya dan golongan autisme.

“Namun kali ini, kita menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dalam memenuhi kelengkapan mereka menyambut hari raya dengan membeli pakaian, kasut, tudung dan beberapa pakaian harian,” katanya.

Roshanizam berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada pertubuhan berkenaan pada majlis itu di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama D Arul Rajoo, Pengarah Operasi CSA Academy Kym Lim serta Pengarah Jenama dan Pemasaran CSA Academy Snow Wong.

Nur-ul Afida berkata Bernama telah menjadi rakan strategik untuk CSA Academy dalam mengelola majlis berbuka puasa berkenaan bersama anak-anak yatim daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir.

“Saya melihat kerjasama ini amat memanfaatkan untuk Bernama kerana dapat memberi keceriaan kepada anak-anak yatim ini.

“Saya mengalu-alukan kerjasama daripada rakan-rakan syarikat lain bersama Bernama kerana sudah pasti kerjasama begini bukan sahaja memberi keceriaan kepada golongan yang patut kita raikan, tetapi (manfaat) untuk syarikat terlibat, kita dapat memberi liputan dan ini merupakan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak,” katanya. 

Terdahulu, kesemua anak yatim dan asnaf yang berumur tujuh hingga 17 tahun turut dibawa membeli-belah pakaian bernilai RM200 setiap seorang di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan