211 GURU TAKMIR PULAU PINANG TERIMA SAGU HATI RAYA RM1,200

22/03/2024 12:10 AM

KEPALA BATAS, 21 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan memberikan sagu hati khas RM1,200 kepada setiap 211 guru takmir di negeri itu sempena Ramadan dan akan dibayar sebelum Aidilfitri ini.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata pemberian itu bagi menjaga kebajikan selain menghargai jasa guru takmir yang banyak membantu kerajaan negeri dan MAINPP dalam mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negeri ini.

“Pemberian ini melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan RM25,3200 yang disediakan oleh MAINPP.

“Tahun lepas kita beri (sagu hati khas) RM900 setiap orang tetapi tahun ini jumlah itu ditambah RM300 kepada RM1,200, yang mana kita selaraskan jumlah itu dengan jumlah minimum bantuan khas Aidilfitri oleh kerajaan negeri yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ijtimak dan Iftar Jamaie Guru Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Darul Hidayah Permatang Tok Gelam, di sini malam ini

Mohamad  berkata kerajaan negeri melalui MAINPP juga telah memperuntukkan RM959,800 bagi membiayai pelbagai program keilmuan dan penganjuran kursus untuk meningkatkan tahap kompetensi tahun ini termasuk mengadakan majlis ijtimak pada hari ini.

“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) pula telah menyediakan peruntukan bagi elaun mengajar, bayaran khas sekali bayar dan skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan jumlah keseluruhan RM3.062 juta tahun ini,” katanya.

Menurut beliau usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi penganjuran program tersebut serta pemberian sagu hati khas diharap dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan kebajikan guru takmir di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan