Redi : Kpdn P.pinang Peruntuk Rm160,000

30/03/2024 12:15 AM

BUKIT MERTAJAM, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memperuntukkan RM160,000 bagi melaksanakan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pulau Pinang, tahun ini.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata dua Bazar Ramadan Rahmah (BRR) iaitu bazar Jalan Mahkamah di Bayan Lepas dan bazar Ban Busuk, Kubang Semang di sini, telah dipilih sebagai perintis kepada BRR di negeri itu dan juga inisiatif tersebut bagi menggalakkan amalan penggunaan e-dompet oleh pengguna dalam membuat sebarang transaksi pembelian.

Beliau berkata inisiatif itu juga diharap mampu mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai.

“Program ReDI telah dimulakan di bazar Jalan Mahkamah Bayan Lepas pada 15 dan 27 Mac, manakala di bazar Ban Busuk, Kubang Semang pada 22 Mac dan hari ini, dengan kerjasama penyedia e-dompet TNG Digital Sdn. Bhd.

“Bagi menggalakkan peniaga dan pengguna menggunakan e-dompet di setiap BRR, pemberian insentif sebanyak RM20 telah diberikan kepada 2,000 pengunjung terawal yang hadir pada setiap tarikh yang dipilih, membabitkan peruntukan keseluruhan RM160,000,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan jelajah mesra bersempena program Inisiatif ReDI di BRR Ban Busuk, di sini, hari ini.

Jegan berkata sebagai penghargaan, peniaga yang menyertai program BRR turut menerima pemberian insentif berupa kad petrol Caltex bernilai RM50, daripada syarikat Pen Petroleum Sdn. Bhd.

Beliau berkata setakat ini, seramai 35 peniaga di dua bazar tersebut telah menyertai program BRR dengan menawarkan pelbagai juadah berbuka berkonsepkan Rahmah, pada harga maksimum RM5.

Sementara itu, berhubung Ops Pantau Jegan berkata sebanyak 1,432 pemeriksaan telah dijalankan pihaknya terhadap premis di sekitar negeri itu, dalam tempoh dua minggu sejak ia dilaksanakan pada 12 Mac.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, pihaknya telah mengesan 18 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM289,589.

“Kita ada penguat kuasa dan pegawai pemantau harga yang melakukan pemantauan setiap hari di premis dan di bazar Ramadan.

“Bagaimanapun, keadaan di Pulau Pinang setakat ini masih terkawal dan tiada sebarang aduan diterima mengenai peniaga yang menjual barangan dan makanan pada harga melampau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan