Tradisi Ketuk Genta Di Terengganu Diteruskan Sepanjang Ramadan

22/03/2024 10:22 AM

KUALA TERENGGANU, 22 Mac (Bernama) -- Tradisi mengetuk genta atau loceng sepanjang bulan Ramadan di atas Bukit Puteri, di sini bagi menandakan sudah hampir masuk waktu berbuka puasa dan imsak akan tetap diteruskan walaupun kerelevanannya seolah boleh dipertikaikan.

Pembantu Muzium Lembaga Muzium Negeri Terengganu Saifol Nahrain Hashim berkata warisan sejak 1908 itu menjadikan Terengganu unik, meskipun bunyi pukulan pada setiap 30 minit sebelum waktu berbuka itu kini tidak begitu didengari orang ramai, susulan deringan genta kian tenggelam dek bunyi bising bandar raya itu.

“Kalau genta ini digunakan untuk beritahu dah nak buka puasa tu memang tak relevan dah, tetapi ia perlu diteruskan sebab ini warisan. Benda ini dah diamalkan dari dulu jadi tidak salah untuk buat agar generasi sekarang tahu apa yang dilakukan oleh orang-orang zaman terdahulu.

“Memang sekarang dah ada bedilan meriam di atas Bukit Panorama dan jam untuk kita tahu masuknya waktu berbuka puasa. Tapi genta ini tradisi Terengganu yang tidak boleh dilupakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pada 1908, genta diperbuat daripada daripada tembaga kuning berukuran kira-kira 228 sentimeter (cm) dan tinggi 70cm serta seberat 175 kilogram.

Menurut catatan sejarah, genta dihasilkan berhampiran Istana Maziah oleh seorang tukang tembaga iaitu Wan Ali Wan Awang, dibantu beberapa tukang lain dan tugas membunyikan genta dahulunya dipikul ‘budak raja’ sebagai pemakluman untuk pelbagai keadaan kepada orang ramai, seperti ketika negeri diserang musuh dan sebagainya.

Setelah mendengar bunyi pukulan genta, penduduk kampung ketika itu akan berkumpul di luar Istana Maziah yang berada di kaki Bukit Puteri, untuk mengetahui apakah yang berlaku atau menerima arahan selanjutnya daripada pihak Istana.

Kini, Saifol Nahrain berkata ia hanya digunakan pada bulan Ramadan dengan dipukul tiga kali sehari iaitu tujuh pukulan pada 30 minit sebelum berbuka puasa, 36 pukulan pada pukul 1 pagi untuk waktu sahur dan empat pukulan pada setengah jam sebelum imsak.

Tugas memukul genta itu kini dipikul Muizzuddin Mansor, 25, dan sepupunya Muhammad Hamidi Aminuddin, 30, iaitu generasi ketiga setelah diamanahkan ayah Muizzuddin, Mansor Awang, 74, yang uzur selepas dipertanggungjawabkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurut Muizzuddin, ayahnya sebagai generasi kedua menggalas tugas itu sejak 1960-an, selepas diwariskan daripada bapa saudaranya (datuk saudara Muizzuddin) sejak berusia 20 tahun.

“Saya mula pukul genta sejak berumur 16 tahun, setelah setiap hari mengikut ayah menjalankan tugasnya ketika itu. Bila ayah uzur, dia turunkan kepada saya dan Muhammad Hamidi. Sebab genta ini berada di puncak Bukit Puteri yang ada 90 anak tangga, untuk didaki setiap hari.

“Kami bergilir untuk jalankan tugas. Untuk pukulan pada pukul 1 pagi, kami akan naik tengah malam bersama-sama untuk pukul dan hanya akan turun selepas selesai ketuk genta untuk imsak. Itulah rutin harian kami,” katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata beliau tidak pernah merasa terpaksa menjalankan tugas itu, sebaliknya berbangga kerana peranan itu merupakan amanah untuk susur-galurnnya.

Pemandu lori itu berkata tugas berkenaan akan ditunaikan mereka yang kedua-duanya masih bujang selagi terdaya dan selepas ini akan diturunkan kepada generasi seterusnya.

Muizzuddin berkata seminggu sebelum Ramadan, beliau akan ke Muzium negeri untuk mengambil kunci Pondok Genta dan pemukul genta yang disimpan di sana.

“Pukul genta ini ada langkahnya. Contoh untuk 36 kali pukulan pada pukul 1 pagi. Ia akan dipecahkan kepada tiga set iaitu 12 kali setiap set dengan kelajuan pukulan dari perlahan dan semakin bertambah.

“Bunyi genta ini setahu saya boleh didengar kira-kira dua kilometer dari Bukit Puteri,” katanya yang tidak pernah gagal melaksanakan tugasnya itu sejak mula menggalas amanah tersebut hingga kini.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan