Pelancong Berkongsi Kemeriahan Iftar@kl

24/03/2024 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Hujan tidak menghalang orang ramai termasuk pelancong asing untuk menyertai program Iftar @KL anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi hari kedua hari ini di Dataran Merdeka di sini. 

Pelancong dari Hungary, Fanni Lekai, 26, yang datang bersama pasangannya Tamas Toth, 27, pertama kali menyertai Iftar@KL dan kedua-dua mereka tertarik dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang meskipun ia merupakan program berbuka puasa.

“Pada mulanya kami mahu menyertai program ini semalam tetapi hujan lebat, jadi kami memutuskan untuk datang hari ini. Nasib baik hujan berhenti sebaik tiba waktu berbuka puasa.

“Saya tertarik menyaksikan program seperti Iftar@KL ini yang ditujukan untuk umat Islam turut disertai orang ramai daripada pelbagai latar belakang berbeza. Saya rasa ini satu daripada identiti utama rakyat Malaysia,” kata Fanni ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, Simone Schein, 46, dari Brazil kagum dengan penganjuran Iftar@KL yang menyaksikan Ramadan dihayati sepenuh hati oleh masyarakat Islam di Malaysia.

“Saya cuma lalu di sini untuk melihat mercu tanda Kuala Lumpur, tidak sangka ada program dan melihat ramai orang berkumpul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Mereka hanya duduk di atas tikar sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa.

“Tiada acara seperti ini di Brazil, jadi saya rasa saya datang ke Malaysia tepat pada masanya untuk menyaksikan bagaimana Ramadan disambut oleh penduduk tempatan dengan sepenuh jiwa mereka,” katanya.

Chen Jia-Wei, 38, dari China berkata ini kali ketiga dia menyertai Iftar@KL sejak 2017, dan setiap kali itu pengunjungnya semakin ramai. 

“Rakan saya dari Malaysia sentiasa mengundang saya untuk menyertai program berbuka puasa ini hingga akhirnya saya amat menyukainya. Sudah tentu saya akan kembali lagi tahun depan,” katanya.

Iftar@KL yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pelancongan Islam dan Persatuan Seni Budaya Putra, menyediakan 35 talam juadah berbuka puasa untuk pengunjung.

Program kali ke-12 sejak ia mula diperkenalkan pada 2012 itu, berlangsung selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac serta  6 dan 7 April. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan