Jabatan Penjara Sasar Jualan Kuih Raya Rm2.2 Juta Pada Bulan Ramadan Tahun Ini

25/03/2024 05:34 PM

PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan jualan kuih raya yang dihasilkan penghuni penjara di seluruh negara mencecah RM2.2 juta untuk bulan Ramadan tahun ini berbanding RM2 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi pelbagai kaedah jualan termasuk melalui platform dalam talian.

"Kita akan pelbagaikan dari segi pemasaran seperti hari ini (Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia) dan kita juga melibatkan pelbagai agensi-agensi tertentu, ia memberi peluang kepada mereka untuk membuat tempahan.

"Selain dijual di setiap institusi penjara, kita juga uar-uarkan dalam laman web supaya pelanggan yang jauh boleh membeli secara dalam talian dan kita boleh hantar melalui pos laju dengan caj penghantaran yang minimum," katanya kepada media selepas perasmian Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata antara kuih raya yang mendapat sambutan ramai ialah Tart Nenas, Cinta Hati Dahlia, My Scoot Femes, Kueh Bangkit dan Rempeyek Kluang.

Terdahulu Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat merasmikan program itu yang julung kalinya diadakan di Istana Kehakiman, dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Mahkamah Putrajaya, berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

-- BERNAMA


 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan