Kpdn Melaka Anjur Jualan Rahmah Ramada-mantai Aidilfitri Di 13 Lokasi

05/04/2024 10:41 PM

MELAKA, 5 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menganjurkan Jualan Rahmah Ramadan-Mantai Aidilfitri, di 13 lokasi di sekitar negeri itu bermula 30 Mac lepas hingga 7 April ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata jualan berkenaan, menawarkan barangan keperluan khusus persiapan Aidilfitri dengan tawaran sehingga 30 peratus.

“Antara barangan keperluan Jualan Rahmah Ramadan-Mantai Aidilfitri yang dijual ialah daging lembu segar, ayam, nasi impit segera, santan, kerisik, halia, rempah ratus dan minuman kordial.

“Selain itu, daging lembu segar juga dijual lebih banyak iaitu antara sembilan hingga 10 ekor lembu dengan harga RM32 sekilogram, di setiap lokasi penganjuran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024, di Pasar Raya Lotus's Peringgit yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Norena berkata lokasi penganjuran Jualan Rahmah Ramadan-Mantai Aidilfitri itu antaranya Kompleks Japerun Taboh Naning pada hari ini, diikuti di Kompleks Japerun Pantai Kundor dan Padang Bola Keranjang Taman Datuk Tamby Chik Karim pada esok.

Beliau berkata pada Ahad pula, jualan berkenaan akan diadakan di hadapan Sekolah Kebangsaan Telok Mas, Dataran Gadek dan tapak Pasar Malam Taman Melaka Perdana.

“Jualan khas ini dianjurkan bagi memudahkan orang ramai khususnya umat Islam untuk membeli barangan keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan harga yang ditawarkan lebih murah daripada cawangan atau pasar raya lain,” katanya.

Norena berkata jualan berkenaan akan bermula 8.30 pagi sehingga barangan yang dijual selesai, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Jualan Rahmah Ramadan-Mantai Aidilfitri di media sosial KPDN Melaka.

Sementara itu Seah berkata bekalan bawang sempena Hari Raya Aidilfitri dijamin mencukupi, kerana barangan kawalan turut diimport dari Pakistan dan China bagi menampung keperluan pengguna.

“Kita memang kekurangan bekalan bawang dari India selepas negara itu melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun ini, namun kita dapat menampung permintaan menerusi bekalan dari Pakistan dan China," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan