50 Kes Tangkapan Dalam Seminggu Op Khas Pagar Laut - Maritim Malaysia

25/03/2024 09:10 PM

KOTA KINABALU, 25 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan 50 kes tangkapan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan lebih RM4.5 juta sepanjang seminggu penguatkuasaan Op Khas Pagar Laut 1/2024 di seluruh perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata daripada jumlah tersebut Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 16 kes tangkapan dengan nilai rampasan hampir RM400,000.

Beliau berkata kesalahan itu di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Operasi ini diaktifkan semula di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan titik panas pada bulan Ramadan dan Syawal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena tinjauan pelaksanaan Op Khas Pagar Laut 1/2024 di perairan Sabah hari ini.

Hamid berkata operasi khas itu dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula Fasa I iaitu persediaan pengumpulan maklumat dan siap siaga aset pada 12 Mac hingga 17 Mac lalu, diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan pada 18 Mac hingga 1 April.

Beliau berkata Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 April hingga 16 April) dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 April hingga 30 April).

“Kejayaan yang dicatatkan adalah bukti para pegawai dan anggota agensi ini melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan dengan komitmen tinggi serta berintegriti,” katanya.

Justeru beliau menyeru seluruh warga Maritim Malaysia meneruskan momentum berkenaan agar tanggungjawab yang digalas ini terus mendapat kepercayaan kerajaan seterusnya keselamatan dan ketenteraman rakyat terjaga khususnya ketika menjelang hari lebaran nanti,.

Pada sesi tinjuaan tersebut, Hamid turut menyampaikan pek bingkisan raya kepada warga Kapal Maritim (KM) Arau melalui Pegawai Memerintahnya Kepten Maritim Solehudin Zakaria serta Pegawai-Pegawai Memerintah Kapal Maritim yang menjalankan operasi berkenaan di Sabah .

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah dan Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan