Yakeb, Dpmum Salur Bantuan Ramadan Dan Aidilfitri Kepada Bekas Atlet

26/03/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Sejumlah 58 bekas atlet menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilftri daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersama Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM). 

Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata bantuan berjumlah RM20,000 terdiri daripada wang tunai keseluruhan RM10,000 dan barangan makanan berjumlah sekitar RM200 hingga RM300 seorang. 

“Pemilihan bekas atlet dibuat oleh penaja sendiri mengikut kriteria mereka yang mana layak menerima, seperti bekas atlet yang B40 atau bekas atlet yang tiada sara hidup dan sebagainya,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu di pejabat Yakeb di sini hari ini. 

Menurutnya pihak Yakeb telah menziarahi lapan penerima dan menyerahkan sumbangan di rumah mereka manakala 50 lagi menerimanya pada majlis hari ini.

Dalam pada itu, Noorul Ariffin berkata Yakeb akan mengadakan program menyalurkan bantuan hari raya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) esok dan bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 April ini. 

Sementara itu, legenda berbasikal trek negara Rosman Alwi yang merupakan seorang daripada penerima hari ini berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebannya untuk membuat persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Yakeb dan DPMUM atas inisiatif menghargai dan mengingati ahli sukan lama, sedikit sebanyak membantu keperluan harian kami.

“Saya harap bantuan ini akan berterusan, yang penting menghargai pemberian ini,” katanya. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan