Sebanyak 496 Notis Dikeluarkan Terhadap Peniaga Menerusi Ops Kesan 2024

26/03/2024 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 496 notis telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sehingga semalam menerusi Ops Kesan 2024 terhadap peniaga-peniaga yang didapati melakukan perubahan pada harga jualan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata peniaga yang didapati melakukan kesalahan itu perlu menjawab notis berkenan dalam tempoh yang ditetapkan, mengenai asas dan justifikasi mengapa perubahan (harga) dilakukan.

“Ops Kesan 2024 dijalankan sejak 1 Mac lepas bertujuan bagi memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan mencatut atau membuat perubahan harga berikutan peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

“Menerusi operasi yang sama, sejumlah 23,562 premis termasuk di bazar Ramadan dan Aidilfitri juga telah diperiksa oleh KPDN di seluruh negara sejak 12 Mac hingga semalam bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Dalam tempoh berkenaan juga, Armizan berkata KPDN menerima sejumlah 726 aduan daripada pengguna di seluruh negara berhubung isu ketidakpatuhan harga.

“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan digunakan untuk membendung sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab berhubung kenaikan harga (barang) sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri, termasuk di bazar-bazar Ramadan,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan