Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar Madani Anjuran Jakim Khamis

27/03/2024 10:06 AM

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Majlis Iftar MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diadakan esok bersempena dengan cuti Nuzul Quran.

Bertempat di Bulatan Dataran Putra di sini, JAKIM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan majlis yang diadakan bermula pukul 5.30 petang akan turut menyediakan 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru.

Menurut JAKIM, orang ramai yang menghadiri majlis iftar yang julung kali diadakan itu, berpeluang berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan duduk bersila bersama-sama dengan Perdana Menteri. 

"Objektif majlis ini diadakan adalah untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki, sekali gus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan Perdana Menteri. 

"Selain itu juga, ia membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat di negara ini di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini," menurut kenyataan itu.

Menurut JAKIM, antara acara menarik bersempena dengan Majlis Iftar MADANI ialah penampilan istimewa persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla, Tazkirah Santai Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee dan Tausiyah Ramadan Ustaz Abdul Hadi Bakri, Ketua Sekretariat Duat Al Falah. 

Sehubungan dengan itu, JAKIM menjemput orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk hadir memeriahkan lagi majlis berkenaan.

"Bagi memastikan keselesaan orang awam yang hadir, bas ulang-alik disediakan di check point Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (Selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13) yang mencukupi," menurut kenyataan itu.

Program Majlis Iftar MADANI ialah anjuran bersama JAKIM dan Perbadanan Putrajaya serta kerjasama dengan 14 agensi agama Persekutuan dan rakan-rakan strategik lain termasuk Tenaga Nasional Bhd, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan