Hampir 500 Kg Lebihan Makanan Bazar Ramadan Diselamatkan Di Terengganu

30/03/2024 09:52 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Sebanyak 418.52 kilogram (kg) makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan sekitar Kuala Nerus berjaya diselamatkan menerusi program MySaveFood@Ramadan negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata kempen itu digerakkan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Negeri Terengganu, sukarelawan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail (IPG KDRI) dan GPS Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Beliau berkata lebihan makanan tersebut diagihkan kepada mahasiswa dan komuniti sekitar yang kurang berkemampuan.

"Objektif program ini untuk membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di Bazar Rahmah Ramadan dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan menjelang 2030," katanya selepas sesi tinjauan mesra di Bazar Rahmah Ramadan Kuala Ibai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Ariffin Deraman.

Dalam pada itu Saharuddin berkata KPDN akan mengadakan Bazar Rahmah Aidilfitri pada 4 hingga 6 April ini di 32 lokasi seluruh negeri.

Bagaimanapun lokasi bazar berkenaan masih dikenal pasti bagi memastikan lebih ramai pengunjung dapat menikmati barang keperluan hari raya pada harga lebih rendah.

"Untuk Bazar Rahmah Aidilfitri ini kita akan berkerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. 

"Barangan yang akan dijual termasuk keperluan hari raya seperti daging, ayam, dan pelbagai lagi pada harga 30 hingga 40 peratus lebih rendah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan