Bsn Duitnow Qr Soundbox Galak Peniaga Bazar Ramadan Digitalisasi Operasi Perniagaan

30/03/2024 11:08 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Inisiatif penggunaan peranti Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) menjadi galakan buat peniaga di bazar Ramadan, terutama di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dalam mendigitalisasikan operasi perniagaan mereka. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peranti berkenaan memudahkan operasi peniaga memandangkan bayaran dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka sekali gus membantu menyemak kutipan jualan.

“… paling penting ialah ia (bayaran) dapat masuk ke dalam akaun bank, jadi nampak rekod dalam bank akaun yang ada. Jadi, pada masa hadapan kalau dia (peniaga) hendak buat pinjaman, dia ada rekod transaksi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi bazar Ramadan TTDI hari ini dan melihat penggunaan peranti itu, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil Jeremy.

Sementara itu, Jay Khairil berkata sebanyak 82 peniaga atau 55 peratus daripada keseluruhan peniaga di bazar Ramadan TTDI telah menerima tajaan daripada BSN bagi peranti berkenaan, termasuk khemah, topi dan apron yang diberikan secara berperingkat kepada semua peniaga. 

Selain bazar Ramadan TTDI, beliau berkata BSN turut membekalkan peranti itu kepada peniaga di 24 bazar Ramadan di sekitar ibu negara antaranya Bazar Ramadan Taman Bukit Cheras, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Menurut Jay Khairil, sambutan terhadap peranti berkenaan amat memberangsangkan daripada peniaga mahupun pelanggan dan berharap lebih ramai peniaga akan menerima kaedah pembayaran digital menerusi peranti itu.

Beliau berkata peranti itu menawarkan penyelesaian pembayaran yang fleksibel bagi pengusaha mikro, kecil dan sederhana sekali gus membolehkan pelanggan mengimbas kod QR dengan mudah atau menggunakan kad bagi pembayaran tanpa kerumitan.

Mengulas mengenai isu segelintir pembeli yang cuba menipu dan tidak memaparkan resit bayaran kepada peniaga, Jay Khairil berkata peranti itu dilengkapi dengan sound box yang berfungsi sebagai penggera bagi memaklumkan kepada peniaga bahawa pembayaran telah berjaya dibuat dan dikreditkan ke dalam akaun mereka. 

Pada majlis itu, BSN menerusi jenama tanggungjawab sosial korporatnya BSN Care turut mengagihkan 500 juadah berbuka puasa kepada komuniti di TTDI melalui program ‘BSN Care Ikhlas Ramadan’.

Antara penerima juadah berbuka puasa itu ialah Balai Polis TTDI, Balai Bomba dan Penyelamat TTDI, Masjid At-Taqwa TTDI serta pengunjung di bazar Ramadan TTDI. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan