Elemen Kemanusiaan Bakal Jadi Syarat Penganjuran Bazar

31/03/2024 03:27 PM

MELAKA, 31 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersedia menjadikan elemen kemanusiaan sebagai antara syarat dalam penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada masa akan datang, kata Datuk Bandar Datuk Shadan Othman. 

Beliau berkata elemen itu boleh dijadikan serampang dua mata sebagai dorongan penganjur membantu golongan tidak bernasib baik dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata dan ia mungkin boleh diikuti oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka. 

"Kita boleh jadikan Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah sebagai contoh kepada penganjur bazar Aidilfitri yang lain, dalam usaha mencari meraih keuntungan ketika musim perayaan, mereka tidak lupa kepada rakyat Palestin. 

"Ini satu contoh yang baik dan tanpa sebarang sasaran (jumlah kutipan), pengunjung datang di bazar ini boleh menyumbang kepada tabung Palestin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tabung Solidariti Palestin dan K-Car Ramadan Autoshow@Melgrab 2024 di sini malam tadi.

Sementara itu Shadan berkata sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pengunjung dilihat menjadikan Melgrab dan Glam Ramadan Bazar Klebang (Glam) sebagai lokasi tumpuan membeli-belah pada hujung minggu berbanding bazar lain. 

"Kadar kemasukan ke Melaka juga bertambah terutama pada hujung minggu dan pada minggu lepas sahaja tidak kurang daripada 5,000 pengunjung datang ke Melaka untuk berbuka atau bersahur secara berkumpulan seperti dari kelab permotoran dan bagi saya ia satu petunjuk yang baik,” katanya. 

Dalam pada itu Muhamad Fikri berkata beliau positif penganjuran Melgrab pada tahun ketiga ini mampu meraih kehadiran 2.5 juta pengunjung. 

"Setakat minggu kedua sahaja, kita sudah mencatat satu juta pengunjung berdasarkan kupon dan saya percaya menerusi promosi yang bagus, pengunjung akan terus datang ke sini kerana trend pembelian itu sangat subjektif," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan