COVID-19: Semua pihak perlu bersedia hadapi sebarang kemungkinan - MB Selangor

20/04/2021 08:31 PM

KAPAR, 20 April -- Semua pihak berkepentingan perlu sentiasa peka dan berada dalam mod bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk gelombang keempat mahupun kelima COVID-19, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha sehabis baik untuk mengekang penularan COVID-19 dengan melakukan saringan serta memantau kawasan panas di negeri itu.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman arahan penutupan 19 sekolah di Selangor bermula semalam berikutan kemunculan kluster pandemik COVID-19.

"Kita dah buat saringan di kawasan 19 buah sekolah ditutup itu dan tengok pergerakan pelajar-pelajarnya kerana di sana banyak kes positif.

“Saringan-saringan ini untuk kita mengesan dan mengasingkan mereka yang positif," katanya kepada pemberita ketika program Jelajah Ramadan Kita Selangor Daerah Klang. 

Amirudin berkata Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga perlu mengatur jadual pembelajaran di 19 buah sekolah terlibat agar kesemua pelajarnya tidak terpinggir.

"Kita mesti bersiap sedia. Sebelum ini pun pendidikan itu hybrid (di rumah dan di sekolah), saya percaya sekolah kena bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan