Bazar Ramadan Bukit Nyamuk dibuka semula esok

24/04/2021 04:24 PM

ALOR SETAR, 24 April -- Bazar Ramadan Bukit Nyamuk di Kuala Nerang yang diarah tutup pada Khamis lepas susulan peniaga serta pengunjung bazar gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dibuka semula esok.

Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) Datuk Suhaimi Abd Rahman berkata bazar itu akan beroperasi di tapak baharu terletak 200 meter dari tapak bazar lama.

“Tempat baharu ini lebih luas, selesa, berbumbung serta mempunyai tempat letak kenderaan yang mencukupi. Jadi, ia dapat memudahkan 35 peniaga untuk menjual makanan, minuman serta barangan lain kepada pengunjung bazar berkenaan.

“Kos membaik pulih bangunan berbumbung untuk keselesaan peniaga dan pengunjung itu dibiayai oleh Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahadzir Khalid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berharap peniaga dan pengunjung bazar berkenaan dapat mematuhi semua SOP  ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penularan COVID-19, di tempat baharu itu.

“Sekiranya peniaga dan pengunjung masih gagal mematuhi SOP, pihak majlis daerah tidak teragak-agak untuk menutup bazar berkenaan buat kali kedua,” katanya.

Bazar Ramadan Bukit Nyamuk menjadi bazar pertama di Kedah yang diarah tutup selepas Majlis Daerah Padang Terap mengesan ketidakpatuhan arahan yang ditetapkan MKN dan KKM.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan