Kerajaan Selangor peruntuk RM551.56 juta bagi pakej Kita Selangor 2.0

09/06/2021 05:30 PM

SHAH ALAM, 9 Jun  -- Kerajaan Selangor memperuntukkan RM551.56 juta dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor, umum Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata antara inisiatif di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 yang bertema Bersama Menuju Kejayaan termasuklah meneruskan Program Bakul Makanan kepada golongan sasar, bantuan RM1,000 kepada keluarga bagi setiap pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dan bantuan khas RM500 kepada orang kurang upaya (OKU).

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju melaksanakan moratorium bayaran pinjaman HIJRAH selama satu setengah bulan kepada 40,000 usahawan HIJRAH Selangor, serta tempoh mula bayaran ansuran pinjaman dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan bagi graduan 2021 yang boleh dipohon di portal Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor.

Beliau berkata bantuan juga diberikan kepada 2,632 individu yang menyewa di Rumah Projek Perumahan Rakyat dan 477 peserta Skim Smart Sewa melalui penangguhan bayaran sewa pada bulan Julai ini dan bantuan sekali beri berjumlah RM450 kepada pengusaha tadika di seluruh Selangor serta RM150 kepada setiap guru tadika.

Dalam pada itu di bawah pakej yang sama, Amirudin berkata dana berjumlah RM200 juta akan ditambah ke dalam Selangor Advance yang akan memanfaatkan aliran tunai syarikat Industri Kecil dan Sederhana.

Selain itu katanya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan melaksanakan Program Agro Prihatin untuk membeli hasil segar dan akan dijual semula kepada orang ramai dengan diskaun 50 peratus yang secara tidak langsung membantu lebih 200 penternak, petani dan nelayan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) telah memperuntukkan RM80 juta bagi membantu 8,000 usahawan dengan modal awalan bagi memulakan perniagaan yang dikhususkan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Selain itu sebanyak RM2.55 juta diperuntukkan bagi membantu sektor pelancongan di Selangor melalui pemberian Geran Bantuan Aktiviti Pelancongan, Baucar Pelancongan Selangor 2.0, Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan serta Bantuan Kewangan ‘One-off’ kepada Persatuan Pelancongan di Selangor. 

Sejak tahun lalu, Selangor telah melaksanakan Pakej Selangor Prihatin 1 dan 2 berjumlah RM400 juta, Pakej Rangsangan Ekonomi yang dijangka memberi kesan ekonomi bernilai RM55.85 bilion, Pakej Kita Selangor 2021 yang berjumlah RM75.877 juta dan Bantuan Khas khusus kepada peniaga dan pengusaha Bazar Ramadan berjumlah RM5 juta.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan