MAINS serah lebih RM1 juta sumbangan Aidilfitri

23/04/2022 09:31 AM

SEREMBAN, 23 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyerahkan sumbangan Aidilfitri sebanyak RM1.84 juta kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Institut Tahfiz Al Quran Negeri Sembilan (PINTA).

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata bantuan khas kewangan itu juga turut diberikan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Jagaan Anak Yatim di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

Beliau berkata bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada guru KAFA setiap seorang melibatkan RM824,000; bantuan sokongan program PINTA (RM710,000) manakala PDK dan Pusat Jagaan Anak Yatim JKM sebanyak RM305,000.

“Syukur kepada Allah SWT, bagi tempoh suku pertama Januari hingga Mac, MAINS berjaya membuat kutipan zakat berjumlah RM29.5 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan MAINS, di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Abdul Aziz berkata MAINS turut memperuntukkan RM7.31 juta bagi bantuan kepada golongan asnaf, anak yatim dan pelbagai institusi antaranya melibatkan bantuan bulanan, makanan asas, bantuan tambahan perayaan serta pengagihan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan.

-- BERNAMA


 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan