Perpaduan adalah tanggungjawab semua - Halimah

27/04/2022 09:46 PM

KANGAR, 27 April (Bernama) -- Tanggungjawab memupuk dan memperkukuh perpaduan negara bukan hanya terletak pada bahu kerajaan sebaliknya dipikul oleh semua pihak di peringkat  individu, keluarga dan masyarakat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata perpaduan merupakan tanggungjawab bersama justeru itu, pihaknya telah merangka Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan  Perpaduan pada 15 Feb 2021. 

“Bagi menyokong pelaksanaan dasar dan rangka  tindakan ini, beberapa pelan tindakan telah disediakan termasuk Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 yang dilancarkan pada 28 Feb 2021,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan Keluarga Malaysia: Iftar Kasih Ramadan malam ini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Dr Kang Tong Hum.

Halimah berkata seiring dengan misi ini, pihaknya telah dan sedang menggerakkan pelbagai program dan aktiviti di semua peringkat bagi menyemarakkan semangat perpaduan Keluarga Malaysia melalui prinsip Merakyatkan Perpaduan. 

“Saya amat berharap agar inisiatif-inisiatif kementerian ini dapat disambut dan dilaksanakan secara bersama sama ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan juga pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah Tapak Integrasi atau Wadah Penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya  tapak inilah yang menjadi resepi utama mengikat perpaduan dalam kepelbagaian rakyat Malaysia melalui nilai kerjasama, muafakat, tolong-menolong, hormat-menghormati dan kasih sayang. 

Halimah berkata program Semarak Perpaduan Keluarga Malaysia hari ini bertujuan mempertemu dan menyatukan semua orang lebih-lebih lagi dalam suasana bulan Ramadan yang mulia serta penuh keberkatan ini. 

-- BERNAMA



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan