Sampah domestik Selangor dijangka berkurangan 30 peratus pada minggu pertama Aidilfitri

27/04/2022 10:49 PM

SHAH ALAM, 27 April (Bernama) -- Kutipan sampah domestik di Selangor pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka berkurangan sebanyak 30 peratus susulan orang ramai yang akan pulang ke negeri masing-masing untuk berhari raya. 

Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata unjuran itu berdasarkan sudah dua tahun orang ramai tidak dapat pulang ke kampung ekoran pandemik COVID-19. 

“Kalau hari biasa, jumlah sampah yang dikutip kira-kira 6,000 hingga 8,000 tan metrik sehari. Minggu pertama hari raya dijangka akan berkurangan sebanyak 30 peratus dan akan kembali seperti biasa pada minggu berikutnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar KDEBWM bersama media di sini malam ini.

Bagaimanapun, Ramli berkata jumlah sampah domestik sepanjang Ramadan menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus.

“Berdasarkan maklumat daripada petugas kebersihan, kebanyakan sampah adalah sampah makanan. Orang ramai perlu kawal nafsu ketika berbelanja di bazar Ramadan, jangan terlampau mengikut nafsu, akhirnya semuanya pergi ke tong sampah,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan