Selangor umum BKK 2022 sebanyak dua bulan setengah gaji untuk penjawat awam

25/11/2022 07:09 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2022 sebanyak dua bulan setengah gaji kepada semua anggota yang berkelayakan dan berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, ketika pembentangan Bajet 2023 semasa Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Selangor, hari ini, berkata bantuan itu juga termasuk untuk anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh kerajaan Persekutuan. 

Beliau berkata pemberian BKK kali pertama satu bulan gaji dengan minimum RM1,000 telah dilaksanakan menerusi Insentif Khas Rahmah Ramadan 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri lalu.

Katanya, BKK kali kedua, insentif satu bulan gaji dengan minimum RM1,000 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM37.63 juta yang akan dibayar pada 29 Dis nanti.

"BKK kali ketiga, insentif sebanyak setengah bulan gaji dengan minimum RM1,000 akan dibayar pada Februari depan bbagi meringankan beban penjawat menampung persiapan persekolahan sesi 2023/2024 yang akan bermula pada pertengahan Mac tahun depan, " katanya.

Amirudin berkata pemberian BKK tersebut dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat anggota yang berkelayakan dalam garis panduan pemberian BKK yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia.

“Masih ada yang tertanya-tanya ada tak lagi BKK untuk Hari Raya Aidilftri nanti, saya jawab insya-Allah tetapi tarikhnya rahsia dan jumlahnya juga rahsia,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan