Bagus Bantu Percepat Kes Tertangguh Di Mahkamah Syariah

07/04/2023 07:13 PM

IPOH, 7 April (Bernama) -- Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) yang diperkenalkan kerajaan sejak Mac tahun lepas membantu mempercepatkan proses pelbagai kes tertangguh di Mahkamah Syariah termasuk di Perak. 

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak Datuk Abdul Rahman Thabroni Mohd Mansor berkata sejak pandemik COVID-19, banyak proses perbicaraan tertangguh namun dengan penubuhan BAGUS ia membantu menyegerakan kes khususnya dalam meneruskan prosiding ditetapkan undang-undang. 

Beliau berkata penubuhan BAGUS juga secara tidak langsung membantu golongan B40 seperti ibu tunggal supaya memahami hak mereka dan membuat tuntutan seperti perceraian, hak jagaan anak dan tuntutan nafkah seterusnya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kita akui selama ini hanya tiga peratus sahaja klien berurusan di Mahkamah Syariah menggunakan khidmat peguam tetapi dengan adanya BAGUS, saya percaya mereka boleh mendapatkan khidmat peguam bagi membantu mereka mengemukakan kes atau menuntut keadilan di Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Konsultasi Percuma Guaman Syarie sempena Ramadan anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Perak yang turut dihadiri pengerusinya Adham Jamalullail Ibrahim di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri di sini hari ini.

Abdul Rahman Thabroni berkata ketika ini terdapat 9, 841 kes semasa direkodkan di Mahkamah Syariah di negeri ini.

Sementara itu, Adham Jamalullail berkata terdapat 40 kes direkodkan mendapat khidmat BAGUS di Perak sejak perkhidmatan itu dilaksanakan awal tahun ini.

"Kes-kes berkaitan syariah ini telah dibantu melalui 15 peguam syarie dilantik untuk mengendalikan kes dengan panel peguam akan menghubungi pelanggan untuk konsultasi dan kita juga menyediakan dokumen-dokumen berkaitan untuk difailkan di mahkamah.

"Pada bulan Ramadan ini memang ramai datang ke mahkamah sehingga hampir 25 orang dalam tempoh tiga jam sahaja dan kebanyakan yang datang disebabkan kes perceraian, kes melibatkan lafaz talak tiga, hak jagaan anak dan tuntutan nafkah," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan