Pm Anwar: Satu Hari Kelepasan Am Tambahan Sempena Hari Raya Aidilfitri

18/04/2023 03:10 PM

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan hari raya dan pulang ke kampung halaman.

Beliau berkata sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat (21 April) maka kerajaan menetapkan 24 April iaitu Isnin sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seandainya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu (22 April), maka kerajaan menetapkan hari Jumaat iaitu 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan, kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

 "Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing," kata Anwar.

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Anwar berkata sempena Aidilfitri, Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

Beliau berkata langkah itu bagi memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal," kata perdana menteri.

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan