Demi Kasih, Ibu Tunggal Sanggup Naik Bas Jemput Anak Keluar Penjara

19/04/2023 07:15 PM

MELAKA, 19 April (Bernama) -- Biarpun terkilan dengan kesilapan yang dilakukan anak perempuannya namun demi kasih, seorang ibu tunggal sanggup menaiki bas persiaran dari Selangor untuk ‘menyambut’ kebebasan anaknya yang keluar dari penjara Sungai Udang di sini hari ini. 

Tanpa menghiraukan letih berpuasa, Azah, 48, mengharungi perjalanan jauh itu hanya semata-mata mahu memeluk kembali anaknya yang dikenali sebagai Nurul, 30, selepas dipenjarakan akibat kesalahan berkaitan dadah sejak Febuari lepas. 

Katanya, saat mengetahui anak sulung enam beradik itu akan dibebaskan hari ini, beliau siap sedia membeli tiket bas dan bergerak dari Selangor dan tiba di Terminal Bas Melaka kira-kira 10 pagi tadi sebelum menaiki kenderaan e-hailing yang mengambil masa lebih 30 minit untuk sampai ke penjara berkenaan. 

"Sepatutnya kami tidak dapat beraya dan berpuasa bersama tetapi alhamdulillah, syukur rezeki kami sekeluarga apabila dia (Nurul) dibebaskan awal daripada tarikh yang sepatutnya iaitu pada 12 Mei ini.

"Mulanya bila dapat panggilan daripada pihak penjara pada bulan lepas, saya tidak percaya dan perasaan bercampur baur sedih, terharu, gembira dan syukur...sebab itu hari ini, macam mana sekalipun saya berusaha hadirkan diri untuk menjemput dia sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen di sini hari ini.

Azah yang bekerja sebagai pembekal di sebuah syarikat swasta berkata tempoh terpisah daripada anaknya itu merupakan pengalaman yang amat menyedihkan buat dirinya terutama ia merupakan kali pertama mereka berjauhan dan perlu menjalani ibadah puasa tanpa Nurul.

Beliau berkata antara momen yang dirindukan sepanjang ketiadaan anaknya itu ialah masakannya kerana Nurul merupakan seorang anak yang pandai memasak apa jua hidangan selain sering membantunya menjaga adik-adiknya yang lain.

"Ini adalah saat yang saya nantikan untuk kami sekeluarga berkumpul semula terutama pada hari raya...apabila dia (Nurul) nampak saya datang dari jauh semata-mata untuk jemput dia pulang, datang seorang diri, hargai dia, saya harap dia menyesal dan tidak ulangi lagi kesalahan yang sama pada masa hadapan dan jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk hidup lebih baik," katanya.

Sementara itu, Nurul yang dibebaskan dari Penjara Sungai Udang kira-kira 12.28 tengah hari tadi berpelukan dengan ibunya dan menangis kegembiraan sebaik melangkah keluar dari pintu utama penjara berkenaan.

Beliau yang juga merupakan seorang ibu tunggal berkata pembebasan awal berkenaan merupakan hadiah Ramadan buatnya kerana masih sempat berpuasa dan menyambut hari raya bersama ibu dan ahli keluarga yang lain termasuk dua anaknya berusia 12 dan 14 tahun.

"Sebaik diberitahu pihak penjara bahawa saya akan dibebaskan lebih awal, saya berjanji tidak akan berpatah balik ke belakang dan berubah menjadi seorang yang lebih baik untuk diri sendiri, ibu dan anak-anak saya," katanya.

Sementara itu, seorang pemuda yang ingin dikenali sebagai Abdul, 25, dari Simpang Ampat, Alor Gajah di sini berkata dia hadir ke penjara berkenaan untuk menyambut pembebasan bapanya Azlan, 55, yang ditahan sebelum ini atas kesalahan dadah pada 2 Feb lepas.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata pembebasan berkenaan memberi banyak kesan pada dirinya dan dia bertekad untuk menjaga bapanya dengan lebih baik kerana beliau menghidap kencing manis dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

"Kami sekeluarga gembira apabila mendapat tahu ayah akan dibebaskan lebih awal dan dapat beraya bersama...baju Melayu dia juga kami telah belikan. Kami harap ayah dapat berubah dan tidak akan kembali ke penjara serta menjauhi dadah," katanya.

Bagi Azlan pula, beliau berkata tidak sabar untuk pulang ke rumah lebih-lebih lagi untuk bertemu dengan cucu baharunya yang dilahirkan ketika dia menjalani hukuman di penjara dan bersyukur anak-anak dan keluarga tidak meminggirkannya walapun ia bukan kesalahan pertama dan berjanji tidak akan terjebak dengan dadah.

-- BERNAMA

    

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan