China: Luoyang Anjur Aktiviti Seni Budaya Xinjiang Menjelang Aidilfitri

24/04/2023 04:15 PM

BEIJING, 20 April (Bernama) -- Terletak di provinsi Henan, bahagian tengah China, bandar Luoyang yang mempunyai lebih 60,000 penduduk Muslim menganjurkan aktiviti bertemakan seni budaya Xinjiang menjelang sambutan Aidilfitri.

Antara pengisian menarik termasuk festival makanan, persembahan nyanyian dan tarian serta pameran warisan budaya bukan benda Xinjiang yang diselenggarakan oleh delegasi bandar Hami, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, berlangsung sehingga Jumaat. 

Bagi menyajikan hidangan dengan cita rasa asli, bahan-bahan yang diperlukan seperti daging kambing, sayur, teh susu dan buah kering telah dihantarkan dari wilayah Xinjiang ke Luoyang melalui perkhidmatan kereta api khas.

Naib Pengarah Biro Kebudayaan dan Pelancongan Kota Lama Luoyang, Chang Yingli berkata kebanyakan anggota delegasi itu merupakan etnik Uygur yang beragama Islam dari Xinjiang.

“Penganjuran aktiviti itu turut memberi peluang kepada komuniti Muslim dari kedua-dua bandar untuk berinteraksi serta menyambut bulan suci Ramadan,” kata beliau.

Selain itu, bandar Luoyang dan Hami merancang untuk memeterai perjanjian kerjasama berhubung penjualan produk pertanian satu sama lain.

Kedua-dua pihak juga bersepakat untuk membuka restoran masakan Xinjiang di Luoyang serta saling mempromosi budaya dan sumber pelancongan.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan