Pkpmp Keluarkan Rakaman Cctv Bukti Kaunter Jaminan Dibuka Hingga 4 Petang

27/04/2023 08:10 PM

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah mengeluarkan rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyokong kenyataannya bahawa kaunter jaminan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tidak ditutup awal pada 20 April lepas.

PKPMP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa rakaman CCTV itu boleh diakses menerusi laman rasmi media sosialnya di Facebook dan Instagram. 

“Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat ini bertarikh 23 April, bersama-sama ini dikemukakan satu rakaman CCTV yang menunjukkan bahawa pada 20 April, kaunter jaminan di Mahkamah Kuala Lumpur, yang terletak bertentangan dengan mesin ATM Maybank, masih beroperasi dan berurusan dengan orang awam hingga 4 petang,” menurut kenyataan itu.

Pada 23 April lepas, PKPMP menafikan dakwaan bahawa kaunter jaminan telah ditutup awal pada hari sama sehingga menyebabkan enam tertuduh terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Menurut kenyataan PKPMP ketika itu, kaunter jaminan dibuka seperti biasa dan daripada 10 tertuduh yang dibenarkan ikat jamin pada hari berkenaan, hanya empat penjamin hadir bagi meneruskan proses tersebut.

PKPMP juga menyatakan memandangkan penjamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat dikemukakan sehingga kaunter ditutup pada 4 petang, yang merupakan waktu biasa penutupan kaunter sepanjang bulan Ramadan, ini telah menyebabkan proses jamin untuk kesemua tertuduh tidak dapat disempurnakan.

Katanya kehadiran penjamin untuk menguruskan proses jamin merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi, selain bertujuan membolehkan mahkamah mengesahkan identiti penjamin yang bertanggungjawab dalam jaminan itu.

Menurut PKPMP, ia juga bagi memberikan penerangan secara lisan kepada penjamin-penjamin berhubung syarat dan tanggungjawab penjamin sepanjang tempoh jaminan.

Dakwaan itu disiarkan pada 20 April lepas oleh sebuah portal berita melalui artikel bertajuk ‘Kaunter ikat jamin tutup awal, 6 terpaksa meringkuk dalam penjara.’ 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan