Aliran Pergerakan Penumpang Mahb Kekal Lebih Sembilan Juta Pada April 2023

31/05/2023 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mengekalkan aliran pergerakan lebih sembilan juta penumpang bagi April 2023 walaupun turut melibatkan tempoh Ramadan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata aliran pergerakan itu mulai ketara pada minggu ketiga April bersempena sambutan Aidilfitri pada 22 April, 2023.

“Angka sembilan juta itu pertama kali direkodkan pada Disember 2022 yang juga bulan kemuncak bagi tahun tersebut. Malah, angka itu kekal di paras lebih sembilan juta penumpang setiap bulan sehinggalah pada April 2023.

“Aliran pergerakan penumpang antarabangsa pula kekal melebihi paras empat juta iaitu 4.3 juta orang pada April 2023 - mencecah 76.8 peratus daripada paras pada April 2019,” katanya.

Menurut MAHB, pergerakan penumpang domestik mencatat sebanyak 4.8 juta penumpang iaitu 78.4 peratus daripada paras April 2019.

“Walaupun tempoh Ramadan pada tiga minggu pertama April 2023, aliran pergerakan penumpang Malaysia terus melebihi enam juta penumpang, angka kukuh yang diuruskan lapangan terbang terbabit sejak Disember 2022.

“Kedua-dua sektor antarabangsa dan domestik terus merekodkan aliran penumpang mingguan yang menggalakkan, meningkat sekali ganda setiap minggu. Prestasi itu didorong antara lainnya oleh sambutan sempena Aidilfitri, langkah penyambungan semula perkhidmatan penerbangan China Southern dari Guangzhou ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Air China dari Beijing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen di Istanbul pada April 2023 meningkat sebanyak 31.7 peratus daripada April 2022 dengan mencatat 2.8 juta penumpang atau 93.8 peratus daripada paras 2019.

“Aliran pergerakan penumpang antarabangsa mencecah 1.5 juta orang pada April 2023 yang merupakan jumlah kendalian tertinggi pada 2022 ketika waktu kemuncak cuti musim panas serta angka tertinggi setakat tahun ini.

“Jumlah pergerakan penumpang domestik juga menggalakkan dengan mencatat 1.3 juta penumpang dan merupakan peningkatan kecil berbanding Mac lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan