Lebih 40,000 Pelarian Syria Nikmati Makanan Percuma Dapur Mankind Benefit

02/07/2023 02:03 PM

Daripada Mohd Afiq Zulkifli

BEEQA, (Lubnan) 2 Julai (Bernama) -- Lebih 40,000 pelarian Syria terutama yang tinggal di khemah pelarian di wilayah ini menikmati makanan percuma yang dimasak oleh Dapur Mankind Benefit sejak pengoperasiannya empat tahun lepas.

Pengurus Kesatuan Persatuan Bantuan dan Pembangunan (URDA) bagi pelarian Syria Omar Janoun berkata dapur berkenaan yang mempunyai kira-kira lapan staf menyediakan makanan percuma bagi 100 hingga 200 keluarga melibatkan 20 khemah pelarian.

Beliau berkata pengoperasian Dapur Mankind Benefit tidak dilakukan setiap hari, sebaliknya banyak tertumpu kepada agihan makanan pada Ramadan, musim sejuk dan majlis jamuan tertentu seperti Hari Raya Aidiladha.

“Masakan di sini dipantau oleh cef berpengalaman bagi memastikan menu masakan yang disediakan cukup diet, berkualiti dan bersih supaya dapat membekalkan nutrisi yang sihat kepada setiap pelarian,” katanya kepada Bernama ketika dibawa melawat ke dapur berkenaan di sini.

Temubual dengan Omar yang berbahasa Arab dan Inggeris diterjemah oleh pasukan Aman Palestin (AP). 

Antara hidangan yang sentiasa disediakan di Dapur Mankind Benefit ialah pelbagai jenis pastri, piza, buah-buahan, makanan tradisional seperti nasi mansa dengan setiap kali beroperasi ia mengambil masa kira-kira 10 jam untuk melakukan pelbagai tugasan.

Omar berkata pihaknya tidak mampu menyediakan makanan percuma kepada seluruh pelarian Syria di wilayah itu pada satu-satu masa kerana terdapat lebih 500 khemah pelarian, iaitu antara kawasan penempatan terbesar pelarian Syria di Lubnan selain wilayah Akkar dan Aarsal.   

“Bagaimanapun, agihan makanan setiap kem akan digilirkan supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” katanya yang turut merancang menjadikan dapur itu sebagai pelaburan agar menjana pendapatan seterusnya menampung kos operasi, gaji staf melalui pakej katering seperti majlis perkahwinan.

Sementara itu, Ketua Misi Korban AP di Lubnan Mohd Salmi Mohamed berkata selain pelarian Syria di Lubnan, pihaknya turut menyediakan tajaan iftar dan bantuan roti hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk pelarian di Syria, Yaman dan Palestin.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak pihak tampil memberikan sumbangan supaya lebih ramai pelarian dapat bekalan makanan dan keperluan harian.

“Walaupun mereka telah diberikan peluang bekerja dalam bidang pertanian di kawasan berdekatan kem, jumlah gaji yang diterima masih tidak setimpal untuk menampung kehidupan,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan