Roti John Rm4 Antara Dijual Di Bazar Ramadan Rahmah Taman Cempaka

14/03/2024 09:13 PM

IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Roti John berharga RM4 antara juadah dijual di Bazar Ramadan Rahmah di Taman Cempaka di sini, yang menawarkan jualan makanan dan minuman pada harga bawah RM5.

Peniaga roti John, Mohamad Hafiz Adnan, 33, berkata inisiatif menjual makanan berkenaan pada harga sedemikian bagi memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan juadah lain.

"Biasa orang jual roti John RM8, jadi saya buat keputusan jual pada separuh harga dan roti bersaiz kecil sedikit, pengunjung tetap dapat merasa kenikmatan roti John dan penjimatan RM4 tadi mereka boleh membeli makanan lain.

"Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pelanggan memuji langkah yang diambil memandangkan saiz roti yang tidak terlalu besar atau terlalu kecil, kalau besar membazir pula," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat 60 gerai di bazar itu yang beroperasi bermula 3 petang hingga 7.30 malam dengan rata-ratanya menjual pada harga bawah RM5 seperti cucur udang, martabak, roti John dan kuih-muih antara RM2 hingga RM4. 

Peniaga martabak, Chaidiri Mahbud, 62, berkata tahun lepas dia menjual martabak daging dan ayam pada harga RM5 sebelum menurunkan harga pada tahun ini kepada RM4.

"Sekiranya pengunjung mahu tambah keju, kita tambah harga RM1. Saya sudah berniaga selama 20 tahun, jadi saya berharap bazar ini akan mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung sampai penghujung Ramadan," katanya.

Seorang pengunjung, Ahmad Fadzil Ahmad Khairi, 22, berkata bazar itu merupakan satu inisiatif kepada seluruh masyarakat di bandar raya ini untuk mendapatkan juadah berbuka puasa berkualiti pada harga berpatutan.

"Ada pelbagai menu ditawarkan antaranya kebab, nasi dagang, nasi ayam, dan lain-lain makanan berlauk pada harga RM5 ke RM6 sahaja dan bagi pelajar seperti saya ia amat berbaloi,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak Datuk Kamalludin Ismail turut meninjau peniaga dan melancarkan Bazar Ramadan Rahmah Taman Cempaka serta Kempen MySaveFood Ramadan di sini.

Beliau berkata pihaknya telah mempertingkatkan penguatkuasaan pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri di bawah Op Pantau 2024 bermula 12 Mac hingga 9 April ini dengan menugaskan 169 penguat kuasa serta 70 pegawai pemantau harga dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan memantau harga barangan.

"Lokasi tumpuan Op Pantau 2024 ialah bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi dan pasar malam termasuk pasar raya besar melalui pemeriksaan berkala serta lebih kerap," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan