32 Anak Yatim Dan Asnaf Dirai, Dibawa Naik Motosikal Berkuasa Tinggi

16/03/2024 08:31 PM

KANGAR, 16 Mac (Bernama) -- Sebanyak 32 anak yatim dan asnaf di Perlis diraikan dengan dibawa menaiki motosikal berkuasa tinggi untuk membeli-belah barangan kelengkapan raya menerusi Program Jelajah Ramadan RTM hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM Nasaruddin Abdul Muttalib berkata kesemua mereka terpilih dari kariah masjid di negeri berkenaan berumur antara enam hingga 17 tahun yang diberikan sumbangan kelengkapan raya.

"Kita santuni mereka dengan membeli persiapan raya yang mereka pilih sendiri seperti baju raya, kasut, dan barangan kelengkapan lain," katanya kepada pemberita bersempena dengan program jelajah itu di Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Nasaruddin berkata selepas dibawa menaiki motosikal berkuasa tinggi, mereka juga disantuni dengan majlis berbuka puasa dan diberikan duit raya.

Sementara itu, seorang anak yatim yang diraikan Muhammad Aqif Ilham Saidon, 10, berkata dia sangat teruja menaiki motosikal berkuasa tinggi itu kerana ia merupakan kali pertama dalam hidupnya dapat merasai sendiri pengalaman sedemikian.

"Teruja dapat naik motosikal besar … bila dapat peluang naik sendiri motosikal ini pergi cari baju raya, saya sangat gembira," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan