Warga Apmm Disaran Jadikan Ramadan Medan Perbaiki Diri

26/03/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disaran menjadikan Ramadan sebagai medan memperbaiki diri khususnya dalam melaksanakan tugasan di perairan negara.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata warga agensi itu perlu meletakkan integriti sebagai tunjang dalam diri terutama ketika melaksanakan tugas yang diamanahkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Zon Maritim Malaysia.

"Pegawai dan anggota yang mempunyai sikap itu akan menjadikan imej dan kualiti perkhidmatan Maritim Malaysia sentiasa dalam keadaan terbaik serta dipandang tinggi di mata masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bingkisan Raya Maritim Malaysia anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat APMM, Putrajaya, hari ini.

Pada program tersebut sebanyak 2,500 kotak bingkisan raya diagihkan kepada petugas agensi terbabit melalui ibu pejabat, maritim negeri, Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA). 

Hamid berkata program itu dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia bagi menghargai pengorbanan pegawai dan anggota yang terlibat dalam Op Khas Pagar Laut di seluruh negara tahun ini.

“Melalui sumbangan ikhlas ini ia sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan perasaan rindu pegawai dan anggota yang bertugas dan terpaksa berjauhan daripada keluarga sempena hari raya nanti,” katanya.

-- BERNAMA
 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan