Lebih 830 Kg Makanan Dan Minuman Lebihan Bazar Diselamatkan Di Perlis

27/03/2024 08:55 AM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

ARAU, 27 Mac (Bernama) -- Sejumlah 836.65 kilogram (kg) makanan dan minuman yang tidak habis dijual peniaga di Bazar Ramadan Arau berjaya diselamatkan bagi tempoh 19 Mac hingga semalam.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis Shamsuharizal Basir berkata daripada jumlah itu, sebanyak 675 kg merupakan minuman tidak terjual, manakala selebihnya 161.65 kg ialah makanan.

"SWCorp menjalankan Program MySavefood ini dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia melalui sukarelawan Hero Kebersihan melibatkan pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Bazar Ramadan Arau ini.

"Program ini hanya dilaksanakan lapan hari bermula 19 hingga 26 Mac. Lebihan makanan yang masih elok dan belum disentuh di Bazar Ramadan Arau ini diagihkan kepada golongan asnaf," katanya ketika ditemui Bernama di tapak bazar Ramadan itu di sini malam tadi.

Shamsuharizal berkata meskipun program itu lapan hari sahaja, peniaga bazar Ramadan boleh mengelakkan pembaziran dengan cara sentiasa membuat perancangan berkesan sebelum menjual makanan dan minuman masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata janaan sisa sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam tempoh Ramadan tahun lepas menurun sebanyak 3.7 peratus berbanding 2022.

"Hal ini menunjukkan keberkesanan kempen SWCorp dengan kerjasama pihak kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan NGO (badan bukan kerajaan) … harapan SWCorp untuk tahun ini akan berlaku juga penurunan (bagi janaan sisa sampah)," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan