Konsulat Malaysia Pekanbaru Rai 40 Anak Yatim Riau Di Majlis Iftar

27/03/2024 06:43 PM

JAKARTA, 27 Mac (Bernama) -- Seramai 40 anak yatim Pusat Asuhan Fajar Harapan di Provinsi Riau, Indonesia diraikan dalam Majlis Iftar dan sumbangan MADANI Ramadan anjuran Konsulat Malaysia di Pekanbaru pada Rabu.

Konsulat dalam satu kenyataan menyatakan barang elektrik, perabut, keperluan harian dan bayi serta pembaikan kecil di pusat asuhan bernilai 71 juta rupiah (RM21,252) disumbangkan melalui dana Akaun Amanah Tabung Strategik Hubungan Malaysia-Indonesia.

Konsul Mohammed Hosnie Shahiran Ismail yang berucap di majlis berkenaan berkata kedua-dua agenda telah diadakan bagi menjelmakan sifat ihsan yang merupakan satu daripada rukun Malaysia MADANI.

“Menerusi rukun itu, seseorang mungkin tidak dapat mengubah keadaan dunia, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengubah diri dan persekitarannya menjadi keadaan yang lebih baik,” katanya.

Majlis dihadiri pengasas pusat asuhan Dr Yazid Bakri dan Ketua Bahagian Kepegawaian dan Am, Jabatan Hal Ehwal Sosial Provinsi Riau Muhammad Subhan.

Hadir sama wakil daripada anak syarikat Sime Darby Plantation Bhd, Minamas Plantation iaitu Pengawal Serantau untuk Riau Utara dan Aceh, Tomi Prakesit dan Pengurus Rakan Perniagaan Sumber Manusia, Hery Sartono.

Menurut konsulat, Sime Darby Plantation adalah antara penyumbang terbesar akaun amanah tabung strategik yang dikelola Kementerian Luar sejak Mac 2013 bagi mengeratkan hubungan dua negara menerusi aktiviti di luar saluran rasmi.

Ditubuhkan pada 2001, kos operasi pusat asuhan berjumlah 100 juta rupiah (RM29,960) sebulan, termasuk gaji 10 pengasuh antara 500,000 rupiah (RM150) hingga 1.5 juta rupiah (RM450), kata konsulat.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan