33,000kg Makanan, Minuman Bernilai Rm416,000 Diselamatkan Di Bazar Ramadan Seluruh Negara

27/03/2024 11:43 PM

KUANTAN, 27 Mac (Bernama) -- Sebanyak 33,000 kilogram (kg) makanan dan minuman dengan anggaran nilai RM416,000 berjaya diselamatkan di bazar Ramadan seluruh negara menerusi program MySaveFood Ramadan yang dilancarkan sejak 14 Mac lepas sehingga hari ini. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata kempen itu digerakkan kementerian dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Kita telah bekerjasama dengan GPS iaitu sukarelawan IPT di bawah KPDN yang ditugaskan untuk menasihatkan peniaga bazar Ramadan di seluruh negara agar tidak membazir dan mengumpulkan makanan yang tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan susah.

"Selain menyelamatkan makanan yang masih elok, kita juga membuat kompos daripada sisa makanan  dengan mesin kompos disediakan SWCorp yang boleh menghasilkan baja dalam tempoh 48 jam menggunakan bahan enzim," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan mesra dan pelancaran Program MySaveFood 2024 peringkat negeri Pahang di bazar Ramadan RAHMAH Mahkota Square di sini hari ini. 

Fuziah berkata sebanyak 25,000 kg makanan berjaya dikumpulkan semasa projek rintis MySaveFood pada Ramadan tahun lepas dan kali ini ia dijangka akan meningkat dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan  dalam pengumpulan lebihan makanan di bazar Ramadan. 

Mengulas mengenai Ops Pantau yang dilaksanakan sejak 12 Mac lepas sehingga semalam di Pahang, Fuziah berkata sebanyak 3,239 premis telah diperiksa dengan 13 kes kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan lapan menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan.

"Kita tidak menjumpai harga makanan yang melampau seperti burger berharga RM30 atau RM40 seperti ditularkan. Mungkin mereka sempat mengubahnya sebelum pegawai penguat kuasa KPDN turun melakukan pemeriksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan