Pjmr 2024 Dijangka Catat Rm1.6 Juta Nilai Jualan -- Ewon

28/03/2024 10:14 AM

PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Program Jualan MADANI Raya (PJMR) 2024 dijangka mencatat jualan RM1.6 juta sepanjang 33 hari program tersebut yang bermula 8 Mac hingga 9 April ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata program yang menawarkan barang persiapan Aidilfitri dan keperluan harian pada kadar harga diskaun sehingga 20 peratus sekali gus dapat membantu meringankan beban rakyat.

"Dalam tempoh dua minggu pertama, PJMR anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencapai jualan RM415,800 (sehingga 22 Mac) dengan 44,212 pengunjung.

"Mudah-mudahan dalam dua minggu yang terakhir, jualan kepada 60 reruai akan terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout PJMR 2024 di Dataran Anjung Syawal, Presint 3, di sini malam semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad.

Berlangsung sempena Festival Ramadan Putrajaya 2024, Ewon berkata PJMR 2024 menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata PJMR 2024 menyediakan 60 reruai jualan melalui penyertaan 28 usahawan dan 13 koperasi dengan pelbagai tawaran menarik barang persiapan Aidilfitri dan keperluan harian yang berupaya meringankan kos persiapan rakyat bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

“PJMR 2024 bukan sahaja memberi penjimatan harga barangan persiapan Aidilfitri malah memperkasa dan mempromosikan perniagaan usahawan serta koperasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI,” katanya.

Mengenai kempen 'Mari Beli Lokal - Ramadan dan Raya' 2024' melalui platform digital tanpa caj iaitu MyMall mampu merancakkan ekonomi digital.

"Program jualan kempen beli lokal secara dalam talian merupakan trend baharu yang mungkin menyumbang kepada kemerosotan jualan secara langsung kerana ramai mahu elak kesesakan, lokasi dan sebagainya," katanya.

Beliau mengulas laporan media tempatan semalam mengenai persiapan orang ramai bagi menyambut Adilfitri ketika ini tidak begitu meriah kerana tekanan kos sara hidup dan ekonomi semasa.

KUSKOP menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui kempen 'Mari Beli Lokal - Ramadan dan Raya 2024' yang dianjurkan untuk kali kedua susulan kejayaan kempen tersebut pada 2023 dengan nilai jualan sehingga RM2.5 juta.

Hampir 500 usahawan dijangka menyertai kempen itu dengan menawarkan pelbagai produk seperti pes masakan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya.

Kempen itu bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Malaysia sekaligus membantu proses pendigitalan golongan itu.

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan