99 Speed Mart Edar 10,000 Kit Makanan, Ringankan Beban Asnaf Sambut Aidilfitri

03/04/2024 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Syarikat rangkaian pasar mini terkemuka, 99 Speed Mart Sdn Bhd terus menyantuni golongan kurang bernasib baik dan asnaf dengan mengedarkan 10,000 kit makanan bernilai RM500,000 bagi membantu meringankan beban dalam menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasinya Yong Eng Kwang berkata ia merupakan kali kelapan syarikat yang terkenal dengan slogan “Dekat Lagi Murah” itu berbuat sedemikian.

Beliau berkata sumbangan tersebut adalah sebagai penghargaan 99 Speed Mart kepada rakyat Malaysia yang telah menyokong syarikat itu selain membantu mereka yang memerlukan bantuan barangan keperluan rumah terutamanya menjelang musim perayaan.

“Kami sentiasa peka dengan keperluan rakyat Malaysia pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal, kami yakin bantuan seperti ini akan menjadi penyeri serta mengurangkan bebanan penerima yang kebanyakan adalah dari kumpulan B40.

“Mereka pun sentiasa menjadikan 99 Speed Mart sebagai pilihan, jadi ini bukan sahaja satu pemberian sebaliknya ia adalah tanggungjawab kami kepada rakyat Malaysia

“… Semoga dengan pengagihan kit makanan oleh 99 Speed Mart ini, ia akan menyerikan lagi sambutan 1 Syawal disamping mengeratkan sillaturrahim,” katanya. 

Menurut Yong, sumbangan kit makanan yang mengandungi barangan seperti biskut, gula, minuman manis, tepung gandum dan santan tersebut diberikan kepada beberapa kementerian dan Majlis Agama Islam negeri yang terlibat untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan masing-masing.

Hari ini, 99 Speed Mart menyerahkan 500 kit kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada majlis ringkas yang diadakan di ibu pejabat JAWI di sini.

Ketua Pengarah JAWI Kol Datuk Mohd Ajib Ismail yang hadir pada sesi penyerahan tersebut berkata kit makanan yang diterima pihaknya akan diagihkan melalui program JAWI Food Bank. 

“JAWI Food Bank iaitu satu program melaksanakan pelbagai sumbangan yang diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta. 

“Alhamdulillah, kami bersama dengan 99 Speed Mart dapat memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri,” katanya. 

Majlis penyerahan sumbangan turut diadakan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diadakan serentak dengan majlis berbuka puasa bersama kumpulan sasar KPWKM di Rumah Seri Kenangan Cheras pada 25 Mac lepas.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan