Hoki: Aksi persahabatan Great Britain, Jepun ukur kemampuan hadapi dua kejohanan Asia

10/04/2021 03:10 AM

KUALA LUMPUR, 9 April  -- Perlawanan persahabatan antara skuad hoki lelaki kebangsaan menentang Great Britain dan Jepun pada 17-24 April ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, akan dijadikan sebagai kayu pengukur bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dan Piala Asia, dijadualkan Oktober depan.

Pengendali skuad lelaki kebangsaan Arul Selvaraj menyifatkan, aksi persahabatan sebagai cukup penting bagi menilai prestasi pasukannya, setelah kali terakhir beraksi dalam perlawanan antarabangsa penghujung tahun 2019.

“Semua sedia maklum pemain baru menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia 2021 (MHL) dan kami masih belum dapat membuat latihan fizikal, menguji sebarang taktikal serta latihan pukulan sudut penalti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arul berkata, pemain boleh menggunakan peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan itu untuk mengekspresikan diri mereka, selepas berusaha keras untuk pasukan termasuk mempraktikkan sikap mengambil tanggungjawab, kepimpinan dan juga konsep bermain hoki.

Katanya, aksi pada bulan Ramadan itu bukan penghalang untuk menerima kunjungan daripada dua pasukan, yang akan membuat penampilan di Sukan Olimpik Tokyo itu selain kedatangan kedua-dua pasukan  tersebut juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Belia Dan Sukan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mengatur perlawanan pada bulan Ramadan bukan sesuatu yang mudah, tetapi ini adalah satu ujian yang cukup baik untuk pemain, terutamanya dari segi persediaan mental kerana fokus utama saya pada pasukan adalah untuk memperkasakan mereka dan bermain dengan maruah,” tambahnya.

Menjelang aksi persahabatan itu, pengendali skuad lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj akan mempertaruhkan 22 pemain yang dipilih dan senarai yang terpilih akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perlawanan persahabatan itu akan dijalankan mengikut konsep gelembung sukan, dan sama seperti dilakukan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ketika menganjurkan saingan MHL 2021 baru-baru ini.

Skuad Jepun yang telah tiba di Malaysia pagi tadi, kini menjalani proses kuarantin wajib di sebuah hotel di Bukit Bintang selama tujuh hari, dan akan dipindahkan ke sebuah lagi hotel di Bangsar selepas tamat tempoh tersebut bagi menjalani sesi latihan dan juga aksi persahabatan.

Proses sama juga akan dilalui skuad Great Britain yang dijangka tiba petang Sabtu (10 April).

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan