Operasi bazar Ramadan di Kelantan dibatalkan

11/04/2021 02:13 PM

KOTA BHARU, 11 April -- Kerajaan Kelantan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berikutan peningkatan serius kes COVID-19 di negeri berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Dr Izani berkata semua acara rasmi kerajaan negeri kecuali mesyuarat-mesyarat penting turut dibatalkan sepanjang bulan Ramadan.  

"Kita dapati kadar kebolehjangkitan (di Kelantan) telah naik kepada 1.12 dan ini menggambarkan betapa seriusnya keadaan sekarang. Kita juga menjangkakan kes tiga angka akan berterusan dan mungkin meningkat dalam tempoh seminggu akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Dr Izani berkata berikutan pembatalan program rasmi berkenaan, lokasi program Madinah Ramadan iaitu solat tarawih di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mungkin dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko rendah (PKRC).

Pada 29 Mac lepas, Dr Izani dilaporkan berkata kerajaan Kelantan membenarkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, manakala program Madinah Ramadan dibenarkan namun hanya dengan 500 jemaah berbanding kapasiti asal 1,300 orang.

"Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana semasa kes pada tahap dua angka kita membenarkan bazar Ramadan dibuka, Madinah Ramadan, majlis berbuka, tadarus dan sebagainya.

“Namun, kerana kita jangka kes semakin serius maka kita terpaksa membatalkan semua program terbabit termasuk program tilawah melibatkan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada malam ini. Malah, semua program kerajaan juga dibatalkan kecuali mesyuarat yang terlalu penting," kata Dr Izani.

Kelantan mencatatkan 171 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes itu sebanyak 7,021 dengan merekodkan 21 kluster yang masih aktif, setakat semalam.

Sementara itu Dr Izani berkata, lebih 80 peratus kemudahan merawat pesakit COVID-19 di lapan hospital di seluruh Kelantan, telah digunakan.

Beliau berkata lapan hospital tersebut ialah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Machang, Hospital Sultan Ismail Petra, Hospital Kuala Krai, Hospital Jeli, Hospital Tengku Anis, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Tanah Merah.

Selain itu katanya, kemudahan di lima Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), juga sudah hampir penuh.

“Kita perlu ketahui, hospital ada pesakit lain yang perlu dirawat dan diberi keutamaan. Justeru itu, cadangan agar lokasi program Madinah Ramadan iaitu solat tarawih di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, dijadikan sebagai PKRC telah dipersetujui kerana yakin akan berlakunya peningkatan kes.

“Sekarang ada lebih 100 kes dalam sehari, manakala kes yang belum keluar keputusannya ada beberapa ratus lagi. Saya percaya kebimbangan kerajaan ini mesti dikongsi dengan rakyat, kerana perkara ini adalah serius,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata kes melibatkan komuniti sudah meningkat kepada 22 peratus dan boleh berjangkit pada bila-bila masa sahaja.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan