Operasi bazar Ramadan: 52 notis dikeluarkan terhadap peniaga di Terengganu

22/04/2021 05:22 PM

KUALA TERENGGANU, 22 April  -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan 52 notis dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM5,450 terhadap pelbagai kesalahan yang dilakukan peniaga hasil pemeriksaan di bazar Ramadan di seluruh negeri itu.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata kesemua 52 notis itu adalah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

"Daripada 52 notis itu, 31 notis disebabkan kesalahan tidak memakai apron, peniaga atau pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan (11), kebersihan diri yang tidak memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua).

"Notis tertinggi dikeluarkan di daerah Besut iaitu 14, diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), masing-masing tiga notis di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman manakala satu notis dikeluarkan di Hulu Terengganu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.

Daripada jumlah itu, 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua).

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata operasi yang dijalankan juga bertujuan mencegah berlakunya kejadian penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan makanan, kolera dan kepialu.

"Pemantauan akan diteruskan hingga akhir Ramadan dan sampel makanan yang dijual turut diambil secara rawak bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual.

"Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa memilih gerai jualan yang bersih, makanan yang bertutup serta guna kaedah hidu dan rasa sebelum makan juadah yang dibeli," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan