ZPP agih RM7.31 juta zakat kepada fakir dan miskin

04/05/2021 06:23 PM

BUKIT MERTAJAM, 4 Mei -- Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan kutipan zakat berjumlah RM7,316,100 kepada 24,072 penerima asnaf fakir dan miskin bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali berkata agihan tersebut merupakan Saguhati Nur Ramadan dan Saguhati Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban golongan itu dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Bagi Saguhati Nur Ramadan, ZPP telah mengagihkan sebanyak RM3,050,800 dengan bilangan penerima seramai 14,644 orang manakala Saguhati Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM4,265,300 dengan bilangan penerima seramai 9,428 orang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau menambah, untuk laporan kutipan zakat harta bagi suku tahun pertama 2021 iaitu sehingga 31 Mac adalah sebanyak RM28.2 juta dengan sasaran kutipan zakat harta pada tahun ini adalah sebanyak RM136 juta termasuk zakat fitrah.

"Jumlah bilangan pembayar terkumpul (bagi suku pertama tahun ini) adalah seramai 59,482 orang pembayar berbanding seramai 53,690 orang pembayar bagi tempoh sama tahun lalu.

"Berdasarkan jumlah tersebut berlaku peningkatan dalam kutipan zakat harta sebanyak RM9.96 juta atau 54.4 peratus dengan pertambahan jumlah pembayar seramai 5,792 orang.

"Manakala, hasil kutipan zakat melalui Skim Potongan Gaji pada tahun 2021 sehingga 31 Mac adalah sebanyak RM11.9 juta yang melibatkan sebanyak 45,372 orang pencarum," katanya.

Amran berkata bagi jumlah agihan zakat sehingga 31 Mac 2021 adalah sebanyak RM28,956,137 berbanding RM27,292,394.41 bagi tempoh sama tahun 2020.

"Manakala bagi penerima agihan zakat sehingga 31 Mac 2021 adalah seramai 6,997 orang penerima berbanding seramai 10,875 orang penerima bagi tempoh yang sama pada tahun 2020," katanya.

Terdahulu, ZPP turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada Maybank Islamic berjumlah RM209,519.81 bagi tahun 2020.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan