KWP kenal pasti bazar Ramadan, pusat beli-belah dikunjungi individu positif, kontak rapat

06/05/2021 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei  -- Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti dan memantau beberapa bazar Ramadan dan pusat beli-belah di ibu kota yang dikesan dikunjungi ratusan individu positif dan kontak rapat COVID-19, yang berkemungkinan akan diarah tutup. 

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata senarai berdasarkan data terkumpul daripada laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok. 

"Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) telah majukan kepada saya senarai tersebut.

"Saya tak menafikan, ada beberapa pusat beli-belah di Kuala Lumpur yang telah dikunjungi 700 orang yang mempunyai kontak rapat positif. Jadi itu berbahaya, tempat begitu perlu disanitasi dan perlu diperketatkan SOP (prosedur operasi standard)," katanya dalam sidang media khas berkaitan SOP Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.  

Beliau berkata bagaimanapun, semua keputusan yang dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dirujuk terlebih dahulu dengan Kementerian Kesihatan. 

Annuar turut menyeru kerjasama warga kota untuk mematuhi SOP memandangkan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP di Kuala Lumpur yang bermula esok hingga 20 Mei ini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan itu. 

"Saya harap tidak timbul kekeliruan dalam kalangan peniaga. Operasi perniagaan termasuk Bazar Ramadan dibenarkan, Bazar Aidilfitri boleh diteruskan berdasarkan waktu ditetapkan MKN. 

"Sekiranya ada maklumat daripada HIDE ataupun ketidakpatuhan, PBT boleh mengeluarkan arahan untuk menutup operasi perniagaan," tegasnya. 

Annuar berkata penguatkuasaan dan kawalan pematuhan SOP oleh orang ramai juga akan dibantu anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun menjelang musim perayaan ini. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan