JAWI saran masjid, surau adakan solat sunat hajat untuk rakyat Palestin malam ini

10/05/2021 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat sunat hajat malam ini, susulan peristiwa serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail berkata solat sunat hajat itu akan diadakan selepas solat Isyak bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin daripada kezaliman tentera Israel.

"Sesungguhnya doa yang dikirimkan dari kejauhan di bulan Ramadan yang penuh barakah adalah lambang solidariti umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan bagi mengecam serangan itu dan menentang kezaliman berterusan yang dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media melaporkan tentera Zionis menyerang rakyat Palestin dengan merempuh masuk Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru besi dilapisi getah bagi menyerang jemaah di sana susulan pengusiran di kejiranan Sheikh Jarrah.

Lebih 200 rakyat Palestin tercedera dalam insiden kejam itu yang mengundang kecaman daripada pelbagai pihak di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan