21,705 kanak-kanak di NS daftar PICKids - MB

09/02/2022 06:30 PM

SEREMBAN, 9 Feb -- Seramai 21,705 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Negeri Sembilan telah mendaftar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata daripada jumlah itu, 531 kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 3 Feb lepas sehingga semalam.

Katanya, jumlah populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini adalah 117,200 orang.

“Setakat ini tiada laporan berhubung masalah kesihatan diterima dan perkembangan mengenai kanak-kanak yang divaksin ini berada dalam keadaan baik. Saya memahami terdapat ibu bapa dan penjaga yang masih bimbang untuk membenarkan anak mereka divaksin.

“Mungkin mereka berhati-hati dan itu perasaan biasa sebagai ibu bapa, lebih-lebih lagi anak-anak ini berumur bawah 11 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan PICKids bermula 3 Feb lepas diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang didaftarkan oleh ibu bapa mereka secara sukarela dan vaksin jenis Comirnaty oleh Pfizer akan diberikan kepada kanak-kanak dengan isipadu satu per tiga daripada dos golongan dewasa.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata pihaknya akan membuka bazar Ramadan pada tahun ini dengan mengekalkan peraturan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya bazar itu akan dibuka di setiap daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menentukan jumlah lot khemah berniaga, termasuk melantik penganjur dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta menasihati peniaga tidak menaikkan harga jualan.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan