Kerajaan N. Sembilan bina 10 masjid baharu babitkan kos RM64.5 juta

17/03/2022 04:02 PM

SEREMBAN, 17 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan sedang membina 10 masjid baharu di negeri ini membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.5 juta dan dijangka siap pada 2023.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata enam daripadanya dibina dengan peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya menerusi dana Persekutuan dengan lokasi termasuk di Seremban, Rembau dan Jelebu.

“Projek itu sudah pun dalam pembinaan...ia merupakan penambahan kepada keseluruhan 303 masjid yang ada di negeri ini. Insya-Allah akan siap pada tahun depan untuk diimarahkan masyarakat Islam.

“Kita juga berdoa semoga wabak COVID-19 dapat dibendung seterusnya masjid boleh kembali berfungsi sebagai institusi pencerdasan dan pemerkasaan umat yang menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Hala Tuju Pengurusan Masjid Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sebelum ini menyasarkan 100 masjid di negeri ini akan menjadi Pusat Pembangunan Umat Terbaik menjelang 2024 melalui beberapa aspek termasuk peningkatan jumlah jemaah di masjid serta pembangunan dakwah dan pendidikan menyeluruh.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata beliau berpuas hati dengan pengurusan masjid dan surau melihat kepada pertambahan jemaah selain pengisian program pengimarahan yang berkesan dilaksanakan sekali gus mampu menarik golongan muda.

Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) ketika Ramadan, beliau berkata pihaknya sudah mempersembahkan perincian SOP itu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk persetujuan sebelum diumumkan dalam waktu terdekat.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan