Tiga tapak parkir persendirian di Bazar Klebang dikesan beroperasi tanpa lesen

19/04/2022 07:05 PM

MELAKA, 19 April (Bernama) -- Tiga tapak kosong milik persendirian berhampiran Bazar Aidilfitri Mega Klebang di sini dikesan dijadikan kawasan parkir kereta tanpa lesen.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata pihak terbabit mengaut keuntungan dengan mengenakan caj antara RM2 hingga RM3 bagi satu kenderaan.

Menurutnya, kegiatan berkenaan dikesan ketika operasi bersepadu ‘ulat tiket’ yang dijalankan kira-kira 10.30 malam, Khamis lepas, membabitkan 14 anggota dan pegawai penguat kuasa MBMB serta lima anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

"Dalam operasi itu, empat kawasan parkir persendirian diperiksa lesen mereka dan tiga daripada kawasan parkir itu dikesan beroperasi tanpa lesen sah daripada MBMB.

"Justeru tiga pengusaha parkir tanpa lesen berkenaan masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM250, selain amaran agar tidak mengulangi kesalahan sama dan mereka juga diminta memohon lesen daripada MBMB jika mahu meneruskan operasi parkir itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Pengagihan 1,800 Bekas Bubur Lambuk bersama Nestle (Maggi) Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Bandaraya Melaka Bersejarah dan Bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata MBMB dan Polis Melaka sentiasa bekerjasama untuk membanteras kegiatan 'ulat tiket' yang beroperasi di tepi jalan, khususnya di kawasan bazar ramadan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada tangkapan dibuat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"MBMB tidak mempunyai kuasa untuk menahan atau mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang mengutip tiket parkir di tepi jalan tetapi penguatkuasaan akan dilakukan bersama polis," katanya.

Sebelum ini, isu 'ulat tiket' di bazar ramadan di kawasan MBMB tular di media sosial dan mereka turut dilaporkan mengugut orang ramai yang tidak mahu membayar parkir di tepi jalan.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan