PKNS LANCAR PROGRAM RAMADAN KASIH BANTU GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN

30/03/2023 05:35 PM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan inisiaitif tanggungjawab sosial korporat menerusi program Ramadan Kasih bertujuan berkongsi rezeki dan membantu golongan kurang berkemampuan.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi berkata program itu melibatkan enam siri aktiviti iaitu Gotong Royong Ramadan Kasih PKNS, Raga Ramadan Kasih PKNS, Bekal Ramadan Kasih PKNS, edaran bubur lambuk, Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS serta Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS.

Beliau berkata kesemua siri aktiviti di bawah program tersebut memberi peluang kepada perbadanan itu untuk menyantuni pelbagai golongan kurang bernasib baik selain memberi manfaat kepada 250 penerima melalui peruntukan wakalah agihan zakat keseluruhan berjumlah RM54,000.

"Tiga daripada enam siri aktiviti ini telah pun berlangsung iaitu gotong-royong di rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) di Rawang, sumbangan kepada 100 gelandangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur serta sumbangan keperluan harian kepada 50 keluarga asnaf baru-baru ini.

"Sempena pelancaran program Ramadan Kasih PKNS hari ini, PKNS turut mengadakan edaran bubur lambuk kepada 1,000 anggotanya serta 500 pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam," katanya kepada media selepas program tersebut yang dilancarkan oleh Ketua Pegawai Kewangan PKNS Nor Azlina Amran di sini hari ini.

Katanya, pada 4 April depan, bubur lambuk akan diedarkan sekali lagi di Kompleks PKNS tersebut buat 500 pengunjung.

Mengulas mengenai aktiviti Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS dan Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS, Sapna berkata kedua-dua aktiviti itu akan berlangsung pada Ahad ini dan 7 April depan.

"Bagi aktiviti 'shopping' raya kita akan membawa seramai 40 anak yatim dari PEKEAS untuk pembelian baju raya di Kompleks PKNS Shah Alam dan setiap seorang akan diberikan peruntukan sebanyak RM200 serta kita juga akan meraikan anak-anak tersebut di majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam," katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan