Pm Ajak Rakyat Malaysia Lakukan Pecutan Terakhir Ramadan

20/04/2023 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak masyarakat Muslim melakukan pecutan terakhir Ramadan yang berbaki satu hari dengan melakukan amal ibadah sebelum menyambut Aidilfitri Sabtu ini.

"Rebut keberkatan dan terus berdoa kepada-Nya, insya-Allah," kata beliau melalui platform rasmi media sosialnya.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa syukur dapat berbuka puasa bersama jemaah Masjid Ashabus Solihin di Taman Rakan, Kajang dan menunaikan solat Maghrib bersama mereka malam ini.

“Alhamdulillah diberi kesempatan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib bersama para jemaah lain,” kata Anwar yang turut berkongsi gambar di media sosialnya.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri Sabtu ini.

Sebelum ini dilaporkan buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan Anwar tidak akan mengadakan Rumah Terbuka pada 1 Syawal 1444H di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan